Skip to main content

Sejarah hebat 1998 dalam jangkauan Perancis

PENJAGA gol Uruguay, Fernando Muslera gagal menangkap kemas bola rembatan Antoine Griezmann

PENJAGA gol Uruguay, Fernando Muslera gagal menangkap kemas bola rembatan Antoine Griezmann sekali gus memberikan gol kedua Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia 2018 di Stadium Nizhny Novgorod semalam.
Perancis menepati ramalan selaku pasukan pilihan sejurus kejayaan menumbangkan Uruguay 2-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia 2018 di Stadium Nizhny Novgorod semalam.
Pemain pertahanan, Raphael Varane dan penyerang sensasi, Antoine Griezmann menjadi duri dalam daging buat Uruguay apabila menjadi wira Perancis selepas masing-masing menjaringkan satu gol.
Keputusan tersebut membuatkan Uruguay terus kempunan untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir buat kali pertama sejak 1954.
Terdahulu, skuad kendalian Didier Deschamps terpaksa bermandi peluh sebelum tonggak pertahanan Real Madrid, Varane membuka tirai jaringan pada minit ke-40.
Penyerang Atletico Madrid, Griezmann menambah luka buat pasukan bimbingan Oscar Tabarez apabila meledak gol kedua Perancis akibat kesilapan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera yang gagal mendakap rembatan dengan kemas pada minit ke-61.
Uruguay yang turun tanpa khidmat Edinson Cavani akibat kecederaan akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Perancis selepas keputusan 2-0 kekal sehingga perlawanan.
Perancis kini semakin hampir untuk mengulangi pencapaian Piala Dunia 1998 selepas layak ke pusingan separuh akhir buat pertama kali sejak Piala Dunia 2006 di Jerman.

Comments