Skip to main content

Rusia tidak rela tewas

CHERCHESOV (tengah) memikul impian besar jutaan penyokong Rusia

CHERCHESOV (tengah) memikul impian besar jutaan penyokong Rusia yang mahu menyaksikan mereka layak ke saingan separuh akhir Piala Dunia kali ini
SOCHI – Pemain tengah Rusia, Aleksandr Samedov menegaskan mereka akan menjaga maruah selaku tuan rumah dengan menewaskan Croatia pada aksi suku akhir Piala Dunia 2018 di Stadium Fisht awal pagi esok.
Walaupun memulakan kejohanan empat tahun sekali itu selaku pasukan yang menghuni ran­king paling rendah, namun skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu mengejutkan ramai pihak apabila mara ke suku akhir.
Meskipun sering dikritik peminat sendiri sebelum Piala Dunia bermula, namun kini mereka diangkat sebagai wira negara, lebih-lebih lagi selepas menyingkirkan Sepanyol pada peringkat 16 pasukan terbaik.
“Sekarang tekanan itu semakin berkurang, tidak sama seperti yang kami hadapi sebelum kejohanan bermula. Kami gembira kerana tekanan yang diberikan berjaya membantu Rusia bermain lebih baik.
“Kami sudah berjaya melangkah ke suku akhir, jadi harapan kami sekarang adalah untuk berikan kegembiraan kepada semua penyokong. Saya harap kami mampu mara ke separuh akhir,” kata Samedov.
Sementara itu, Cherchesov yakin sokongan padu bakal diberikan peminat setia mampu membangkitkan semangat pemain-pemainnya biarpun berdepan Croatia yang dianggap antara pasukan paling sempurna pada Piala Dunia kali ini.
“Pada ketika ini, saya hanya memikirkan mengenai perlawanan akan datang. Sudah pasti emosi bercampur-baur kerana ini merupakan perlawanan yang penting dan saya yakin sokongan padu peminat setia akan membantu kami,” ujarnya. – Agensi

Comments