
LUKA MODRIC (kiri) bersama pemain Croatia menjalani latihan di Roschino, St. Petersburg, Rusia, kelmarin. AFP
SAINT PETERSBURG 30 Jun - Croatia melangkah ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia dengan diketuai pemain tengah, Luca Modric, pemain yang dibandingkan oleh rakan sepasukannya, Ivan Rakitic dengan bintang Sepanyol, Andres Iniesta.
Selama empat tahun beraksi bersama Iniesta di Barcelona dan Modric dengan skuad kebangsaan Croatia, meletakkan Rakitic di kedudukan istimewa untuk menilai perancang terbaik di dalam era moden.
“Sepertinya kedua-dua mereka ini berasal dari planet lain dan mereka datang ke sini untuk bermain bola sepak bersama kita, manusia. Kedua-dua pemain berkenaan antara yang terbaik di dunia di posisi mereka. Anda perlu cuba menikmati sebanyak mungkin keseronokan bermain dan mempelajari sesuatu dengan mereka,” kata Rakitic.
Iniesta merupakan pemain yang kerap dikaitkan dalam kalangan mereka yang hebat dan dia juga memiliki pengaruh besar terhadap kejayaan Sepanyol, tetapi bakat Modric pula kurang mendapat perhatian.
Mungkin, kecemerlangan Iniesta telah banyak dibantu dengan pencapaiannya di peringkat antarabangsa, apabila dia menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010, manakala Modric masih belum mampu melakukan perkara serupa bersama Croatia.
Modric telahpun merangkul empat gelaran Liga Juara-Juara sepanjang enam tahun dia di Real Madrid, dan turut pernah memenangi La Liga serta The Copa del Rey.
Bagaimanapun, sejak melakukan penampilan sulung bersama Croatia pada Mac 2006 iaitu dalam aksi persahabatan menentang Argentina, Modric dikecewakan sebanyak dua kali di peringkat kumpulan Piala Dunia, malah pada 2010 pasukan negaranya gagal melayakkan diri.
Pada Kejohanan Eropah, Croatia tersungkur sebaik melepasi saingan kumpulan pada 2008 serta 2016, dan terkandas di peringkat kumpulan pada 2012.
“Modric mungkin mendapat lebih banyak tumpuan berbanding sekarang jika dia merupakan pemain Jerman atau Sepanyol. Dia juga mungkin berpeluang memenangi Ballon D’Or. Tetapi disebabkan kami sebuah negara kecil, perhatian yang sepatut diperolehnya agak kurang,” kata pertahanan Croatia, Dejan Lovren, minggu lalu.
Modric tidak pernah berada di dalam senarai tiga anugerah berprestij, tetapi selepas meledakkan dua gol untuk Croatia dalam tiga perlawanan pembukaan di Rusia, dia kini akhirnya berpeluang memahat namanya dalam pertandingan besar.
Iniesta dan Sepanyol mungkin menanti Croatia di suku akhir, tetapi mereka terlebih dahulu perlu berdepan Denmark di peringkat kalah mati di Nizhny Novgorod, Isnin ini (awal pagi waktu Malaysia).
Denmark melepasi halangan Kumpulan C yang mempamerkan persembahan kurang menarik, tetapi mereka memiliki pemain tengah yang dinamik iaitu bintang Tottenham, Christian Eriksen. –AFP
Comments
Post a Comment