
Pemain Perancis, Kylian Mbappe meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Argentina, sebentar tadi. - REUTERS
KEPANTASAN dan kelicikan Mbappe menjadi senjata Perancis menumbangkan Argentina.
Faktor itu tidak boleh disangkal. Sejak awal permainan, tumpuan serangan Perancis ialah melorongkan bola kepada penyerang PSG itu untuk merobek pertahanan Argentina.
Larian deras dan kelicikan menggelecek Mbappe yang disifatkan banyak pemerhati persis lagenda Perancis, Thierry Henry menimbulkan kegusaran pertahanan Argentina.
Kemasukan Fazio menggantikan Rojo pada separuh kedua dengan tujuan memperkukuhkan sektor pertahanan Argentina ternyata suatu kesilapan. Tidak dinafikan Fazio seorang pemain pertahanan yang baik, cumanya dia kekurangan aspek kelajuan.
Gandingan pertahanan Argentina pada separuh masa kedua, Mercado-Fazio-Otamendi ternyata gagal untuk 'mengendalikan' kelajuan serangan Perancis yang diketuai Mbappe, terutamanya apabila Les Blues melakukan serangan balas pantas.
Hasilnya, penyerang berusia 19 tahun itu berjaya mencetak dua gol, bagi memastikan Perancis mara ke suku akhir Piala Dunia kali ini.
Berdasarkan persembahan Mbappe ini, kita sedang melihat kepada calon pemain muda terbaik pada edisi kali ini.
Sekiranya momentum persembahan Mbappe ini mampu berterusan, tidak mustahil Perancis mampu mara sehingga ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, Deschamps perlu melihat semula aspek pertahanan apabila tiga gol dilepaskan pasukan bimbingannya. Kelekaan barisan pertahanan Perancis menyebabkan pasukan itu melepaskan tiga gol mudah (kecuali gol jaringan Di Maria yang sungguh mempesonakan).
Bagi Argentina pula, edisi kali ini mungkin yang terakhir bagi beberapa pemainnya terutama, Messi. Penyerang Barcelona itu gagal memberi impak dalam perlawanan (melainkan hantaran kepada Aguero yang menghasilkan gol pada minit-minit akhir).
Sudah tentunya, Messi yang terus kempunan kejuaraan bersama pasukan kebangsaan kecewa dengan persembaham dipamer Argentina pada edisi kali ini.
Tetapi itulah hakikatnya, mempunyai pemain terbaik dunia dalam pasukan kebangsaan tidak menjamin kejuaraan. Pokok pangkalnya ialah kerja berpasukan.
Dalam situasi ini, Messi tidak boleh dipersalahkam sepenuhnya. Yang perlu dipersoalkan ialah taktikal Sampaoli. - UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment