GIROUD percaya skuad Perancis kini bukan pasukan yang tewas kepada Portugal pada aksi final Euro 2016 sebaliknya dia bersama rakan-rakan sepasukannya mahu menamatkan misi menjulang Piala Dunia 2018 Ahad ini.
MOSCOW – Penyerang Perancis, Olivier Giroud percaya fokus terhadap mentaliti menjadi faktor pasukan Perancis berbeza jika dibandingkan dengan skuad yang tewas kepada Portugal pada aksi final Euro 2016.
Giroud, 31, bakal sekali lagi mengemudi jentera serangan Perancis apabila menentang Croatia pada aksi final Piala Dunia 2018 Ahad ini, menggantikan Ousmane Dembele sejak perlawanan kedua skuad Les Bleus bertemu Peru pada peringkat kumpulan.
Perancis menjadi pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia 2018 selepas beraksi cemerlang menewaskan Argentina, Uruguay dan Belgium, malah Giroud menegaskan bahawa Les Bleus tidak akan mensia-siakan peluang untuk meraih piala di pentas antarabangsa.
“Ia berbeza sama sekali. Selepas aksi separuh akhir menewaskan Jerman (Euro 2016), kami begitu teruja dan terlalu bergembira, sedangkan ketika menentang Belgium ia berbeza.
“Perasaan itu sangat berbeza dan kami sedar ada satu perlawanan lagi untuk menang. Kami perlu tumpuan sepenuhnya untuk menamatkan misi tersebut dan disebabkan itu ia sangat berbeza. Kami menempuh perjalanan yang panjang untuk sampai ke tahap ini dan kami tidak akan sesekali mensia-siakan peluang tersebut.
“Kamu boleh menjulang Piala Dunia atas dasar berbakat tinggi. Namun, bakat sahaja tidak mencukupi kerana perlu kecekapan. Kekuatan mental perlu 70 peratus dan jika kamu dan rakan-rakan sepasukan bersedia dengan dedikasi serta komitmen, apa-apa sahaja boleh berlaku,” jelas Giroud.
Penyerang Chelsea itu masih belum menjaringkan sebarang gol di Rusia, namun dia sedar peranan besar perlu dimainkannya dalam mencipta peluang dan keseimbangan dalam pasukan. – Agensi
Comments
Post a Comment