Skip to main content

Tersingkir atau tidak, kedudukan Loew selamat

JOACHIM LOEW - REUTERS
JOACHIM LOEW - REUTERS
KAZAN, Rusia 27 Jun - Persatuan Bola Sepak Jerman memaklumkan bahawa kedudukan jurulatih skuad Die Mannschaft, Joachim Loew dijamin selamat meskipun gagal membantu pasukannya mengekalkan kejuaraan Piala Dunia yang dimenangi empat tahun lalu.
Jerman menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F di Arena Kazan, pada pukul 10 malam ini dan mereka perlu melakar kemenangan dengan kelebihan dua gol jika mahu mengesahkan tempat ke 16 pasukan terakhir
Juara dunia empat kali itu dikejutkan dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Mexico sebelum diselamatkan dengan gol lewat permainan Toni Kroos ketika menewaskan Sweden 2-1.
Jika gagal melepasi peringkat kumpulan, reputasi Loew selepas 12 tahun mengemudi pasukan itu akan tercalar bagaimanapun difahamkan kedudukannya selamat selepas jurulatih berusia 58 tahun itu menyambung kontraknya hingga 2022.
“Kami telah memutuskannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DFB sebelum Piala Dunia berlangsung untuk menawarkan lanjutan kontrak.
“Kami percaya akan ada lebih banyak transisi dilakukan selepas Piala Dunia, tidak kira apa jua keputusan yang dicatatkan dan tiada individu yang dapat melakukannya dengan baik selain Loew,” kata bos DFB, Reinhard Grindel. - AFP

Comments