PHILIPPE COUTINHO menjaringkan gol buat pasukan Brazil dalam pertemuan Kumpulan E menentang Switzerland, awal pagi tadi.
ROSTOV-ON-DON, Rusia 18 Jun - Juara lima kali Brazil gagal meraih tiga mata penting selepas terikat 1-1 dengan Switzerland dalam aksi Kumpulan E menentang Switzerland.
Brazil yang merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi sepakan lencong bintang Barcelona, Philippe Coutinho dari luar kotak penalti.
Pasukan Selecao di bawah kendalian Tite mendominasi hampir keseluruhan permainan dan berjaya melakukan beberapa percubaan ke arah gawang Rossocrociati namun gagal menambah bilangan jaringan.
Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan kembali seimbang dan Switzerland berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Steven Zuber pada minit ke-50 sekali gus memastikan Rossocrociati meraih satu mata daripada perlawanan pertama mereka dalam kempen kali ini.
Brazil kemudiannya terus menggandakan asakan untuk mencari tiga mata penting dengan beberapa percubaan termasuk tandukan Neymar dan Roberto Firmino tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Keputusan itu menyaksikan Serbia kini berada di kedudukan teratas Kumpulan E dengan tiga mata selepas berjaya menundukkan Serbia 1-0 dalam perlawanan terdahulu.-AGENSI
Comments
Post a Comment