PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan mereka memperoleh gol pertama sewaktu menentang Maghribi dalam aksi terakhir Kumpulan B yang berkesudahan seri 2-2. - AFP
RUSIA 26 Jun - Sepanyol terpaksa berdepan detik cemas sebelum berjaya mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan B apabila mengikat Maghribi 2-2 dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Kaliningrad, sebentar tadi.
Juara dunia pada 2010 itu terpaksa bangkit sebanyak dua kali apabila gawang mereka dibolosi terlebih dahulu pada minit ke-14 menerusi jaringan Khalid Boutaib sebelum Isco menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Skuad La Roja tersentak apabila Maghribi yang sudah pun tersingkir sekali lagi mengatasi mereka hasil tandukan Youssef En-Nesyri ketika permainan berbaki sembilan minit.
Nasib menyebelahi anak-anak buah Fernando Hierro apabila Iago Aspas berjaya merampas satu mata berharga hasil sepakan volinya pada waktu kecederaan babak kedua.
Meskipun berkongsi lima mata dengan Portugal namun Sepanyol mengungguli carta kumpulan apabila memiliki kelebihan jaringan. Sepanyol bertemu naib juara Kumpulan A, Rusia dalam aksi kalah mati pada 1 Julai ini.
Naib juara kumpulan menjadi milik Portugal selepas mereka berjaya mengikat Iran 1-1 di Arena Mordovia. Skuad kendalian Fernando Santos terpaksa menanti hingga minit ke-33 untuk menembusi gawang lawan hasil jaringan Ricardo Quaresma.
Portugal dihadiahkan penalti pada minit ke-53 selepas Saeid Ezzatollahi menjatuhkan Cristiano Ronaldo bagaimanapun rembatan penyerang Real Madrid itu berjaya diselamatkan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand .
Ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada Portugal, pengadil perlawanan menghadiahkan penalti kepada Iran pada waktu kecederaan sebelum disempurnakan oleh Karim Ansarifard namun usaha mereka tidak cukup untuk menghalang juara Eropah 2016 itu daripada melepasi peringkat kumpulan.
Portugal menentang juara Kumpulan A, Uruguay dalam aksi kalah mati pada 1 Julai ini. - AGENSI
Comments
Post a Comment