CHERCHESOV (kanan) percaya pasukannya perlu menajamkan lagi sentuhan di hadapan gawang Arab Saudi menjelang aksi pertama Piala Dunia malam ini.
MOSCOW – Ketua jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov memberi amaran kepada para pemainnya supaya mengurangkan kesilapan ketika beraksi di padang menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2018 bertemu Arab Saudi malam ini.
Rusia memasang impian sekurang-kurangnya mara ke saingan kalah mati dan perlu mengintai kedudukan kelompok dua pasukan teratas Kumpulan A yang turut disertai Arab Saudi, Uruguay dan Mesir.
Bagaimanapun, sekiranya diukur melalui tujuh keputusan perlawanan persahabatan sebelum ini, Rusia berdepan kesukaran untuk merealisasikan impian tersebut apabila bolos 10 gol dan gagal mencatat kemenangan dalam kesemua aksi tersebut.
“Saya dapati pemain kerap melakukan kesilapan sehingga menyebabkan kami dihukum. Ini adalah perkara penting yang perlu diberikan perhatian.
“Kami juga perlu lebih kreatif dan yakin ketika melakukan serangan. Sentuhan terakhir di dalam kotak penalti sangat penting.
“Saya tidak bercakap bagaimana kami harus menjaringkan gol tetapi dari aspek menyempurnakan setiap serangan yang kami lakukan.
“Para pemain saya tidak ada masalah dalam melakukan larian dan mendapatkan bola tetapi kami masih belum menemui kualiti sentuhan yang terakhir,” katanya.
Ketika Uruguay yang dibarisi penggempur terbaik dunia seperti Edinson Cavani dan Luis Suarez dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati, Rusia perlu memanfaatkan aksi pertama menentang Arab Saudi.
Ini bagi meraih tiga mata penuh selain perlu mencari jalan menewaskan Mesir untuk mara biarpun dengan status naib juara kumpulan.
Dalam pada itu, Cherchesov mengakui bahawa dua pemain pertahanannya, Vladimir Granat dan Sergei Ignashevich semakin menemui keserasian ekoran baharu sahaja digandingkan.
“Mungkin kita lihat kesilapan itu berpunca daripada benteng pertahanan pada aksi persahabatan sebelum ini tetapi ia adalah kerana mereka masih baharu beraksi bersama.
“Namun, saya percaya mereka semakin serasi dan mampu memikul tugas mempertahankan gawang Rusia,” katanya. – Agensi
Comments
Post a Comment