PENYERANG England, Harry Kane (tengah) ketawa ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Repino semalam untuk persediaan menentang Belgium. – AFP
ST. PETERSBURG 27 Jun - Pertemuan England dan Belgium dilihat hanyalah sebagai pelengkap jadual perlawanan terakhir Kumpulan G kerana masing-masing telah pun menempah slot ke pusingan kalah mati lebih awal tetapi Marouane Fellaini menyifatkan perlawanan tersebut pelik.
Sambil menunggu keputusan perlawanan lain untuk mereka mengetahui siapa lawan masing-masing dalam pusingan kalah mati, kedua-dua pasukan tersebut tidak melihat kejayaan menamatkan persaingan sebagai juara kumpulan sebagai satu kelebihan.
Apa yang pasti, jurulatih Belgium, Roberto Martinez dan rakan sejawatannya Gareth Southgate akan merehatkan beberapa watak utama pasukan masing-masing dan memberi ruang kepada pemain simpanan untuk beraksi.
Kedua-dua pasukan masing-masing menewaskan Tunisia dan Panama untuk mengutip enam mata sekali gus mara ke pusingan kalah mati, oleh itu perlawanan esok hanya untuk memutuskan siapa yang terkuat dalam Kumpulan G.
“Saya fikir perlawanan ini pasti menarik dengan keputusan 50-50 untuk kedua-dua pasukan dan memandangkan Belgium dan England sudah layak pasti aksi ini menjadi pelik,” kata pemain tengah Belgium, Fellaini.
Martinez memberi bayangan akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukannya dan dia dijangka merehatkan pertahanan Jan Vertonghen, pemain sayap Thomas Meunier dan Kevin De Bruyne selepas masing-masing mengutip satu kad kuning.
Sekiranya ada dalam kalangan pemain tersebut mengutip satu lagi kad kuning bermakna mereka akan digantung daripada beraksi dalam pusingan kalah mati.
Southgate pula tanpa berselindung memberitahu dia akan menggabungkan pemain yang masih belum diturunkan serta bebas daripada kecederaan bagi mengekalkan momentum selepas kejayaan mereka membelasah Panama 6-1. – REUTERS
Comments
Post a Comment