PENYERANG Mexico, Javier Hernandez (kanan) meraikan kejayaannya meledak gol kedua bersama Hirving Lozano ketika menewaskan Korea Selatan 2-1 di Arena Rostov, hari ini. - REUTERS
RUSIA 24 Jun - Dua gol masing-masing dijaringkan oleh Carlos Vela dan Javier Hernandez sudah cukup untuk membantu Mexico menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia di Arena Rostov, sebentar tadi.
Walaupun mengungguli tangga teratas kumpulan namun skuad kendalian Juan Carlos Osorio masih belum sah mara ke peringkat kalah mati memandangkan mereka perlu menunggu keputusan perlawanan Jerman menentang Sweden yang akan berlangsung di Stadium Fisht pada pukul 2 pagi nanti.
Sekiranya penyandang juara, Jerman berjaya menewaskan Sweden nampaknya Mexico perlu mencatat keputusan sekurang-kurangnya seri dalam aksi terakhir Kumpulan F menentang Sweden di Arena Ekaterinburg pada 27 Jun ini.
Skuad El Tri membuka tirai jaringan pada minit ke-26 apabila pengadil perlawanan menghadiahkan penalti selepas bola terkena tangan Hyun-Soo Jang dan Vela tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakannya.
Mexico banyak mendominasi perlawanan apabila mereka mengasak kubu Korea Selatan bertali arus dan hasilnya Hernandez mengukuhkan kedudukan pada minit ke-66 setelah menerima hantaran daripada Hirving Lozano.
Gol sagu hati Korea Selatan hadir menerusi jaringan Heung-Min Son pada waktu kecederaan babak kedua namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian. - AGENSI
Comments
Post a Comment