LIONEL MESSI menjalani latihan bersama skuad Argentina di Bronnitsy, Rusia semalam dalam persiapan menghadapi Nigeria pada perlawanan terakhir Kumpulan D. AFP
SAINT PETERSBURG, Rusia 25 Jun - Dua hari selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-31, Lionel Messi bakal berdepan ujian paling hebat dalam kariernya apabila menentang Nigeria dengan misi menyelamatkan Argentina daripada tersingkir pada Piala Dunia 2018.
Esok (pukul 2 pagi Rabu waktu Malaysia), seluruh dunia akan melihat sama ada Messi dan rakan-rakannya mampu meneruskan cabaran di Rusia atau bakal tersingkir awal gara-gara seri 1-1 dengan Iceland dan tumpas 0-3 kepada Croatia.
Pada ketika Messi bakal mengetuai pasukannya, Sergio Aguero yang ‘menyerang’ jurulatih, Jorge Sampaoli bakal diganti dengan Gonzalo Higuain, manakala Franco Armani dijangka membuat kemunculan sulung menggantikan penjaga gol berpengalaman, Willy Caballero.
“Saya dapat rasakan kemarahan yang terpendam dalam hati pasukan ini.
“Saya juga sedang marah dan sangat sedih kerana setiap pemain yang menyarung jersi Argentina tidak boleh melihat pasukan ini dibelasah oleh negara seperti Croatia. Mereka bukan Jerman, Brazil, Belanda atau Sepanyol,” kata legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.
Messi berjaya membawa Argentina ke final Piala Dunia empat tahun lalu, selain dua final Copa America, namun semua penampilannya berakhir dengan kekalahan, sekali gus menyebabkan dia sering dikritik kerana gagal meneruskan kecemerlangan di Barcelona bersama skuad negara.
Sementara itu, penyerang Nigeria, Odion Ighalo mengisytiharkan perlawanan di Saint Petersburg sebagai ‘perang’, manakala bintang tengah mereka, John Obi Mikel mahu membalas dendam ke atas Messi yang dikatakan telah ‘merompak’ Bola Emas daripadanya dalam Piala Dunia Belia 2005.
“Ini akan menjadi perang dan ibarat final kerana mereka perlu menang.
“Argentina kena menggunakan apa sahaja helah yang ada untuk memenangi perlawanan dan saya beri jaminan, ia tidak mudah,” kata Ighalo kepada BBC Sport.
“Sebelum perlawanan (final Piala Dunia Belia) semua kata saya akan menang anugerah Bola Emas tetapi Messi kemudian menjaringkan dua gol, kedua-duanya menerusi penalti. Argentina menang 2-1 dan saya hanya dapat Bola Perak. Dia merampas anugerah daripada saya,” ujar Mikel.
Selepas kalah 0-2 kepada Croatia dalam aksi pertama Nigeria bangkit membenam Iceland 2-0, sekali gus hanya memerlukan seri daripada perlawanan terakhir Kumpulan D untuk mengiringi Croatia ke peringkat kalah mati.
Comments
Post a Comment