Rusia lawan Arab Saudi pada aksi pembuka tirai di Moscow malam ini
STADIUM Luzhniki yang mampu memuatkan 81,000 penonton bakal menjadi venue aksi pembuka tirai Piala Dunia 2018 menemukan Rusia dan Arab Saudi di Moscow malam ini.
KETIKA umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan Syawal malam ini, Stadium Luzhniki, Moscow bakal bergegar dengan aksi pembuka tirai Piala Dunia 2018 di Rusia.
Pasukan tuan rumah akan melayan kunjungan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan A pada temasya bola sepak terbesar dunia bagi edisi ke-21 itu.
Rusia yang dibimbing Stanislav Cherchesov sudah pasti mahu meraih kemenangan sulung bagi merealisasikan sekurang-kurangnya mara ke saingan kalah mati dengan mengintai peluang berada dalam dua kelompok teratas kumpulan yang turut disertai Uruguay dan Mesir.
Pasukan tuan rumah mempertaruhkan pemain tengah, Alexsandr Golovin dan penyerang, Fedor Smolov bagi merobek gawang lawan.
“Kami juga perlu lebih kreatif dan yakin ketika melakukan serangan. Sentuhan terakhir di dalam kotak penalti sangat penting untuk menggegar jaring lawan,” ujar Cherchesov.
Arab Saudi yang dikendalikan oleh Juan Antonio Pizzi pula mempertaruhkan ketajaman dua penyerang, Mohammad Al-Sahlawi dan Fahad Al-Muwallad bagi merobek gawang pasukan tuan rumah dalam usaha skuad dari Asia Barat itu meraih kemenangan pertama.
“Saya menjangkakan Fahad (Al-Muwallad) akan diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Rusia dan Uruguay sebagai penyerang daripada posisi asalnya iaitu sayap kanan,” ujar Pizzi.
Comments
Post a Comment