Skip to main content

Godin sedia sekat ledakan Ronaldo

DIEGO GODIN (dua dari kiri) gigih menjalani latihan bersama pemain
DIEGO GODIN (dua dari kiri) gigih menjalani latihan bersama pemain Uruguay di Nizhny Novgorod, Rusia, kelmarin. -AFP
SOCHI, Rusia 29 Jun - Gandingan pertahanan terbaik Uruguay pada Piala Dunia setakat ini, bersedia menggalas tanggungjawab berat untuk menghalang seteru lamanya, Cristiano Ronaldo apabila Uruguay dan Portugal bertemu di Sochi, Ahad ini (awal pagi waktu Malaysia).
Laut Hitam bakal menjadi saksi kepada pertembungan derby Madrid yang menemukan dua bintang Atletico iaitu kapten Uruguay, Diego Godin, dan Jose Maria Gimenez menentang pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or tersebut yang juga merupakan tonggak Real.
Pertarungan kedua-dua pasukan itu dijangka berlangsung menarik di Stadium Fisht dengan Ronaldo, 33, menikmati persembahan terbaiknya pada Piala Dunia, tetapi dia perlu berdepan Uruguay yang menjadi satu-satunya pasukan melepasi halangan kumpulan di Rusia tanpa dibolosi.
Godin merupakan pakar bagi mengekang pintu gol pasukannya daripada dibolosi, dan selaku peneraju benteng pertahanan Atletico yang digeruni kelab-kelab Eropah, bek tengah Uruguay itu berjaya berbuat demikian bersama skuad kebangsaan negaranya dalam enam perlawanan pada 2018.
Ronaldo pula telahpun meledakkan gol sebanyak empat kali pada Piala Dunia, termasuk hatrik sewaktu Portugal diikat dengan keputusan seri 3-3 menentang Sepanyol. Ini bermakna dia kini memiliki 85 gol di pentas antarabangsa, yang merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Eropah.
Sejak dua tahun lalu, dia berjaya mencipta hatrik sebanyak dua kali sewaktu Real menentang pasukan Godin, Atletico, dan Ronaldo turut membantu Los Blancos meraih kemenangan dalam dua derby Madrid pada final Liga Juara-Juara.
Namun, Godin yang terkenal dengan sikap beraninya, sehingga memaksa pemain itu menjalani pembedahan pergigian selepas tiga giginya patah sewaktu bersaing di udara dengan penjaga gol Valencia, awal tahun ini, memiliki kemampuan menyekat Ronaldo dalam banyak perlawanan sejak sedekad lalu.
“Godin seorang bintang. Dia mampu bertahan, memberikan arahan, menjaring gol, merangkul gelaran, dan tidak pernah terlepas peluang beraksi,” kata Diego Maradona mengenai bek tengah itu, baru-baru ini.
Ahad ini, Gimenez, yang merupakan penjaring gol pada lewat permainan sewaktu menentang Mesir, bersedia bergandingan dengan Godin di posisi pertahanan tengah selepas tidak diturunkan akibat kecederaan sewaktu menewaskan Rusia 3-0. – AFP

Comments