Skip to main content

Gimenez pastikan Uruguay raih mata penuh


PENYERANG Uruguay, Edinson Cavani (kiri) memeluk pemain pertahanan, Jose Gimenez (kanan) selepas meledak gol tunggal perlawanan ketika menentang Mesir di The Ekaterinburg Arena, sebentar tadi. - Foto AFP

YEKATERINBURG: Jose Gimenez menanduk masuk bola pada minit ke-89 untuk membolehkan Uruguay mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Mesir pada perlawanan pertama mereka hari ini, sekali gus menafikan Mesir untuk meraih satu mata selepas bintang sensasi, Mohamed Salah tidak diturunkan. 
Gimenez berada di posisi tepat untuk menerima sepakan percuma Carloz Sanchez, sekali gus meleburkan badi 48 tahun mereka yang gagal memenangi perlawanan pembukaan di saingan Piala Dunia.
Mesir terselamat pada awal permainan hasil tindakan cemerlang penjaga gol mereka, Mohamed El-Shenawy yang bertindak berani menafikan cubaan Luis Suarez.
Uruguay semakin mempamer watak meyakinkan dan ia bertambah baik selepas mengetahui Salah yang mengalami kecederaan bahu bulan lalu, kekal berada di bangku simpanan.
 Mesir nyata berdepan masalah tanpa Salah apabila mereka dilihat tidak begitu mengancam gawang lawan.
Sebakiknya Suarez sering memberi masalah kepada Mesir sejak separuh masa pertama lagi, namun El Shenawy kekal tenang menafikan cubaan penyerang sensasi Uruguay itu. 
Kegagalan menurunkan Salah dilihat agak mengejutkan selepas jurulatih, Hector Cuper dua hari lalu berkata, pemain itu hampir cergas 100 peratus untuk diturunkan.
Penyerang Liverpool itu mengalami kecederaan bahu pada final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid sehingga mencetuskan persoalan kepada berjuta penyokong Mesir sama ada dia mampu pulih sepenuhnya untuk beraksi di Piala Dunia - AFP

Comments